Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 6 Disember. - Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berucap menekankan bahawa inovasi merupakan aset yang berharga dalam ekonomi dunia sekarang.
Di seluruh BIMP-EAGA, kata Yang Berhormat, menyaksikan transformasi yang meyakinkan dalam bioteknologi, ketepatan pertanian, landasan digital, tenaga bersih dan pelancongan yang didayakan teknologi.
“Usahawan muda sudah pun merintis perubahan dengan menyesuaikan teknologi canggih dalam perikanan, menggunakan dron dalam pertanian, mengembangkan perdagangan digital dan menggunakan bioteknologi ke arah mengukuhkan keselamatan makanan," ujar Yang Berhormat pada Majlis Youth Dialogue Programme Bas Belia BIMP-EAGA 2025 di bangunan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, hari ini.
Menurut Yang Berhormat lagi, banyak alat transformasi seperti Kecerdasan Buatan, perkhidmatan awan, pembayaran digital dan perdagangan rentas sempadan sudah pun tersedia.
Inovator yang berjaya ialah mereka yang dapat mengintegrasikan alat-alat tersebut, menyesuaikan model yang telah terbukti, dan mengolah teknologi global agar sesuai dengan keperluan tempatan dan serantau.
“Di sekeliling kita, teknologi berkembang pesat, kesalinghubungan digital semakin meluas, pasaran e-Global berubah, mengubah cara perniagaan bersaing serta cara manusia hidup dan bekerja.
“Dalam landskap ini, keusahawanan tidak lagi terikat oleh usia, geografi atau skala. Satu idea inovatif yang digerakkan oleh teknologi dan kolaborasi mampu mengubah industri, mencipta pasaran baharu dan meningkatkan kesejahteraan komuniti," ujar Yang Berhormat.
Tegas Yang Berhormat, realiti itu menekankan satu mesej yang jelas iaitu usahawan muda bukan sekadar peserta dalam ekonomi, mereka adalah arkitek masa depan BIMP-EAGA yang dipacu oleh inovasi.
Dalam semangat itu, tambahnya, kita menghayati tema perhimpunan hari ini iaitu 'Mencorakkan Masa Depan Inovasi dan Kolaborasi Rentas Sempadan untuk Usahawan Generasi Baharu' yang mana tema ini mengingatkan bahawa masa depan mesti dibina dengan niat, inovasi, dan usaha kolektif merentasi sempadan.
Lebih 200 belia menghadiri Youth Forum Brunei Edisi Ke-4 yang dianjurkan bersama oleh Young Professionals Network Brunei dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersempena Program Bas Belia BIMP-EAGA 2025.
Sesi pertama 'Generasi Usahawan Seterusnya : Belia sebagai Pemangkin Perubahan' menampilkan dialog terbuka bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Abdul Hamid dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee dengan moderasi oleh Fadli M. Zaini dari Young Professionals Network.
Dalam sesi tersebut, para panel berkongsi mengenai perubahan zaman dan generasi serta bagaimana belia akan memacu ekonomi, negara dan masyarakat. Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee menekankan bahawa belia adalah pemangkin perubahan kerana mereka melihat dunia dengan perspektif yang berbeza.
Sesi tersebut diteruskan dengan sesi kedua bertajuk 'Merentasi Sempadan : Belia, Perdagangan dan Kesepakatan dalam BIMP-EAGA' bersama para usahawan muda dan Delegasi BIMP-EAGA Youth Bus 2025, Pengasas Borneo Fertilyst (Malaysia), Siti Subailah binti Suod; Pengasas Tautan Rasa Resin Jewelry (Indonesia), Fionna Nur Illahi; Ketua Pegawai Eksekutif Voluntiiran (Indonesia), Nanda Irfan Fathan serta Presiden Young Entrepreneurs Association of Brunei, Goh Chai Li dan dimoderasikan oleh Mohammad Nur Afiq Izzuddin bin Abdul Mujiib Yahya dari Young Professionals Network.
Sesi panel kedua menekankan kepentingan kolaborasi dan kerjasama melangkaui hubungan ekonomi dalam BIMP-EAGA, khususnya dalam kalangan belia.
Melalui sesi ini, para panel berkongsi perjalanan dan pengalaman peribadi mereka mengatasi cabaran sebagai usahawan muda. Selain itu, mereka turut menyatakan aspirasi mereka untuk melihat BIMP-EAGA menjadi instrumen bagi kolaborasi yang lebih kukuh melalui projek rentas sempadan dan kerjasama perniagaan yang berdaya maju bukan sahaja menghasilkan nilai ekonomi tetapi juga nilai sosial yang mampan dalam membentuk rasa 'kebersamaan', keharmonian dan perpaduan di semua peringkat masyarakat.
Youth Forum Brunei (YFB) ialah sebuah platform yang menghimpunkan pemimpin muda dan pembuat dasar untuk membincangkan pandangan, cabaran dan peluang bagi pembangunan Brunei, selaras dengan aspirasinya untuk mempromosikan penyertaan dan kepimpinan belia dalam pembangunan ekonomi, nasional dan serantau.
Pada asalnya merupakan kesinambungan Brunei Chevening Youth Forum yang dianjurkan sejak 2015 oleh Chevening Alumni Brunei yang telah menghimpunkan lebih daripada 1,450 pemimpin muda melalui 11 forum, bengkel dan siri syarahan.
YFB berhasrat untuk terus menyediakan platform bagi dialog konstruktif serta ruang di mana golongan belia dapat berhubung dengan rakan sebaya yang sehaluan dan berasa selamat untuk menyuarakan pandangan mereka.